Selain itu, kita boleh menunjukkan sayang kepada ibu bapa kita dengan cara menghormati dan mentaati mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana setelah kita boleh berfikir, ibu bapa kita menerapkan nilai-nilai murni dalam diri kita. Mereka telah mendidik kita sejak kecil bak kata pepatah, “melentur buluh biarlah dari rebungnya.” Apabila kita sudah dewasa, kita telah menajdi modal insan yang berkualiti dengan nilai-nilai murni hasil daripada didikan mereka. Secara tidak langsung, kita bertanggungjawab untuk mengamalkan nilai-nilai murni yang telah kita peroleh. Sebagai contohnya, kita bercakap dengan nada yang rendah apabila berkomunikasi dengan orang tua terutamanya ibu bapa dan menundukkan badan apabila melalui hadapan mereka. Kita juga akan menjadi teladan kepada anak-anak kita apabila kita menghormati orang tua kita. Oleh hal yang demikian, kita hendaklah membalas jasa mereka dengan menghormati dan mentaati mereka sebagaimana mereka menerapkan nilai-nilai murni dalam diri kita.